Thursday, July 30, 2026

TAKLIMAT SKIM LINDUNG 24 JAM PERKESO BERSAMA WARGA POS MALAYSIA DAN KESATUAN SEKERJA POS


KUALA LUMPUR, 30 Julai 2026 – Satu sesi taklimat mengenai pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 serta pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK), yang dikenali sebagai Skim LINDUNG 24 JAM, telah diadakan bersama Pengurusan dan warga Pos Malaysia serta Kesatuan Sekerja Pos.

Taklimat telah disampaikan oleh Encik Azirruan bin Arifin, Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO. Sesi tersebut memberikan penerangan mengenai skop perlindungan, jenis faedah, mekanisme caruman serta tanggungjawab majikan dalam persediaan pelaksanaan skim berkenaan.

Skim LINDUNG 24 JAM bertujuan memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada pekerja yang mengalami kemalangan di luar waktu kerja dan tidak berkaitan dengan pekerjaan. Perlindungan tersebut melengkapi Skim Bencana Pekerjaan PERKESO yang sedia ada, tertakluk kepada peruntukan undang-undang, syarat kelayakan dan tarikh pelaksanaannya.

Antara manfaat SKBBK yang diterangkan ialah faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara atau kekal, faedah orang tanggungan, elaun layanan sentiasa, faedah pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani dan vokasional, program kembali bekerja serta faedah pendidikan.

Turut hadir ialah wakil Pengurusan Pos Malaysia dan kepimpinan Kesatuan Sekerja Pos:

πŸ”ΆSaudara Ahmad Saupi bin Taib – Presiden PMEU
πŸ”ΆSaudara Khairuddin bin Ismail – Presiden PMJEU
πŸ”ΆSaudara Haji Ismail Ali – Presiden UPUS
πŸ”ΆSaudara Haji Mohd Effendy – Presiden UPCW

Kehadiran bersama pihak pengurusan dan kesatuan-kesatuan sekerja mencerminkan komitmen kolektif untuk memastikan setiap dasar keselamatan sosial yang melibatkan pekerja dapat difahami dengan jelas serta dilaksanakan secara teratur dan berkesan.

Kesatuan-kesatuan sekerja Pos Malaysia menyambut baik usaha memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja di luar waktu kerja. Pada masa yang sama, pelaksanaan skim hendaklah dibuat secara telus, mudah difahami dan tidak membebankan pekerja.

Penerangan yang menyeluruh mengenai kebaikan SKBBK perlu disampaikan kepada semua pekerja supaya mereka memahami skop perlindungan, kelayakan, kadar caruman, jenis faedah serta tatacara membuat tuntutan. Langkah ini penting bagi memastikan matlamat Skim LINDUNG 24 JAM untuk melindungi pekerja dan keluarga benar-benar dapat direalisasikan.

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP