Friday, September 11, 2026

KONVENSYEN KESATUAN SEKERJA 2026

 Ke Arah Kesatuan Sekerja yang Progresif, Berintegriti dan Dinamik: Mendepani Transformasi Teknologi serta Evolusi Alam Pekerjaan Masa Kini





Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia. Program ini memberi fokus kepada usaha memperkasakan kesatuan sekerja sebagai sebuah institusi yang progresif, berintegriti dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan landskap pekerjaan, selaras dengan perkembangan teknologi digital serta keperluan tenaga kerja moden menjelang tahun 2030.

Program dimulakan dengan ucaptama bertajuk “Membina Kesatuan Sekerja yang Progresif, Berintegriti dan Dinamik” yang disampaikan oleh Prof. Emerita Dr. Durrishah Idrus. Sesi ini menekankan kepentingan peranan strategik kesatuan sekerja dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan profesionalisme serta memastikan kesatuan kekal relevan dalam era globalisasi.

Seterusnya, taklimat PERKESO bertajuk “Memperkasa Perlindungan Sosial dan Peluang Pekerjaan Golongan Orang Kurang Upaya (OKU)” oleh Tuan Mohd Sazuan Abdul Hadi memberi pendedahan mengenai usaha memperluaskan perlindungan sosial serta mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih inklusif dan mampan.

Sesi “Tadbir Urus Berintegriti: Memperkukuh Kredibiliti dan Kepercayaan terhadap Kesatuan Sekerja” yang disampaikan oleh Tuan Mohd Safuan Alias menekankan kepentingan integriti, akauntabiliti dan amalan pengurusan terbaik bagi meningkatkan keyakinan ahli serta pihak berkepentingan.

Dalam menghadapi perkembangan teknologi, sesi “Transformasi Digital: Kesatuan Sekerja Mendepani Perubahan Teknologi” oleh Sdr. Aminuddin bin Awang, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Malaysia (NUTP) membincangkan kepentingan adaptasi digital dalam pengurusan kesatuan, komunikasi serta penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap.

Program turut menampilkan Forum 2030: “Kesatuan Sekerja Masa Hadapan: Cabaran, Peluang dan Hala Tuju Strategik Menjelang 2030” bersama Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, Presiden UNI-MLC yang membincangkan cabaran dunia pekerjaan masa hadapan serta strategi memperkukuh peranan kesatuan sekerja dalam menghadapi perubahan ekonomi dan teknologi.

Secara keseluruhannya, program ini menjadi platform strategik dalam memperkukuh peranan kesatuan sekerja sebagai organisasi yang berintegriti, inovatif dan responsif terhadap perubahan semasa. Melalui pemerkasaan tadbir urus, pendigitalan serta pembangunan tenaga kerja inklusif, kesatuan sekerja diyakini mampu terus menyumbang kepada pembentukan ekosistem pekerjaan yang lebih progresif, berdaya saing dan mampan menjelang tahun 2030.

Rumusan penutup telah disampaikan oleh Dr. Ab Razak Othman daripada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS).

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP