MAJLIS PENYERAHAN GERAN PHEKS 2026 PERKASA PERANAN KESATUAN SEKERJA DALAM PEMBANGUNAN TENAGA KERJA
KUALA LUMPUR, 23 Jun 2026 – Majlis Penyerahan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 Peringkat Semenanjung Malaysia telah berlangsung di The Grand Ballroom, Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur dengan penyertaan pelbagai kesatuan sekerja dari seluruh Semenanjung.
Program anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) ini bertujuan memperkukuh kapasiti dan pembangunan kesatuan sekerja melalui penyaluran geran bagi pelaksanaan program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada ahli serta memperkasakan gerakan kesatuan di negara ini.
Majlis dimulakan dengan ketibaan dif-dif kehormat termasuk YB Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia, dan YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia. Acara diteruskan dengan nyanyian Lagu Negaraku, bacaan Ikrar Rukun Negara dan doa, diikuti ucapan aluan oleh Pn. Anita binti Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah JHEKS.
Dalam ucapan beliau, komitmen kerajaan terhadap pengukuhan peranan kesatuan sekerja sebagai rakan strategik pembangunan tenaga kerja negara telah ditekankan, selain galakan agar geran dimanfaatkan secara berkesan untuk program yang memberi impak langsung kepada ahli.
Majlis kemudiannya dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, yang turut merakamkan penghargaan kepada semua kesatuan atas sumbangan berterusan dalam menjaga kebajikan dan hak pekerja di Malaysia. Seterusnya, sesi penyampaian Geran PHEKS 2026 telah disempurnakan, melibatkan pelaksanaan program seperti latihan kepimpinan, pembangunan organisasi, pendidikan kesatuan dan aktiviti kebajikan ahli.
Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh institusi kesatuan sekerja ke arah hubungan perusahaan yang lebih harmoni, progresif dan mampan.
Turut hadir ialah Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, Presiden UNI-MLC, yang memberikan sokongan kepada penerima geran.