𝐏𝐄𝐑𝐓𝐄𝐌𝐔𝐀𝐍 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐔𝐍𝐈 𝐆𝐋𝐎𝐁𝐀𝐋 𝐔𝐍𝐈𝐎𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐔𝐊𝐔𝐇 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐆𝐋𝐎𝐁𝐀𝐋 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐀𝐆𝐄𝐍𝐃𝐀 𝐇𝐀𝐊 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀
Pertemuan dengan barisan pimpinan daripada UNI Global yang diwakili oleh Setiausaha Agung, Christy Hoffman; Ketua Jabatan UNI Gaming, Giedre Lelyte; serta Penasihat Kanan Dasar, Ben Richards. Ini merupakan pertemuan pertama antara Kerajaan Malaysia dan UNI Global Union, mengambil kira peranan UNI Malaysia Labour Centre (UNI-MLC) yang diketuai Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, sebagai ahli gabungan di bawah UNI Global Union serta antara kumpulan pekerja terbesar dalam delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) Sesi Ke-114.
Dalam pertemuan tersebut, pelbagai inisiatif terkini Kerajaan telah dikongsi dalam usaha memperkukuh standard perburuhan negara. Ini termasuk agenda reformasi undang-undang perburuhan, penggubalan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872], pelaksanaan Occupational Safety and Health Master Plan (OSHMP) 2026–2030, serta pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 JAM) yang telah berkuat kuasa pada 1 Jun 2026. UNI Global Union dan UNI-MLC turut menegaskan kepentingan prinsip perundingan bersama serta kebebasan berpersatuan sebagai asas utama perlindungan hak pekerja.
Turut dibincangkan ialah kebimbangan terhadap ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah yang berpotensi memberi kesan kepada kestabilan ekonomi global, rantaian bekalan, peluang pekerjaan serta kesejahteraan pekerja. Impak tersebut turut dirasai oleh banyak negara termasuk Malaysia, khususnya melalui peningkatan kos operasi, ketidaktentuan pasaran dan tekanan terhadap sektor pekerjaan. Sehubungan itu, penegasan telah dibuat bahawa perlindungan hak pekerja serta prinsip keadilan sosial perlu terus diperkukuh, khususnya dalam suasana global yang tidak menentu. Ketidakstabilan geopolitik tidak wajar dijadikan alasan untuk mengabaikan kebajikan pekerja, menjejaskan standard perburuhan atau menghakis perlindungan sosial yang menjadi teras kepada pembangunan ekonomi yang mampan dan inklusif.
Pertemuan ini turut mengukuhkan hubungan antara Kerajaan Malaysia dan UNI Global Union sebagai organisasi antarabangsa yang mewakili kepentingan pekerja, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik dalam memperkasa agenda perburuhan, dialog sosial dan pembangunan tenaga kerja di peringkat global.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), Dr. Mohd Shaharin bin Umar; Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman bin Aziz Mohammed; Setiausaha Politik, Aizuddin Abd Gaffal; Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar Perburuhan, Puan Grace A/P Dairiam; serta pegawai kanan kementerian.
#KESUMA #YakinMADANI #MalaysiaMadani #YangBerkhidmatRamanan
Sumber : FB YBM : Ramanan Ramakrishnan Official Media









