Monday, May 18, 2026

LAPORAN PENUH PROGRAM SEMINAR ON COMMUTING SAFETY PERKESO / UNI-MLC

 




Kuala Lumpur, 14 Mei 2026 – Program Seminar On Commuting Safety anjuran UNI-MLC bersama PERKESO telah berlangsung dengan jayanya di Starpoints Hotel Kuala Lumpur dengan penyertaan wakil-wakil kesatuan sekerja, majikan, pegawai agensi kerajaan serta peserta daripada pelbagai sektor pekerjaan.

Program ini dianjurkan bertujuan meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan perjalanan ke tempat kerja (commuting safety) serta memperkukuhkan budaya kerja selamat dalam kalangan pekerja di negara ini.

Majlis dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta sebelum diteruskan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan bacaan doa.

Majlis turut diserikan dengan ucapan aluan oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal Presiden UNI-Malaysia Labour Centre (UNI-MLC), yang menekankan kepentingan aspek keselamatan pekerja ketika berulang-alik ke tempat kerja. Beliau turut menyeru semua pihak termasuk majikan, pekerja dan agensi kerajaan agar memainkan peranan secara bersama dalam memperkukuhkan budaya keselamatan dan pencegahan kemalangan di tempat kerja.

Seminar diteruskan dengan pembentangan Topik 1 bertajuk “Vision Zero & Pencegahan Kemalangan” yang disampaikan oleh YBrs Tuan Wan Mahmood Bin Wan Harun daripada Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan PERKESO Kuala Lumpur. Dalam sesi tersebut, beliau menjelaskan pendekatan “Vision Zero” yang memberi fokus kepada usaha mencapai sifar kemalangan di tempat kerja melalui langkah pencegahan awal, kesedaran keselamatan serta penglibatan aktif semua pihak dalam organisasi.

Seterusnya peserta mengikuti pembentangan Topik 2 bertajuk “OSHMS Integrated with Commuting Safety” yang disampaikan oleh YBhg Tuan Ir. Ts Ahmad Afizul Haq bin Abdul Razak daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Pembentangan tersebut memberi penerangan berkaitan kepentingan integrasi Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMS) dengan aspek keselamatan perjalanan harian pekerja bagi memastikan pengurusan risiko yang lebih efektif.

Pada sebelah petang pula, seminar diteruskan dengan pembentangan Topik 3 bertajuk “Keselamatan Jalan Raya” yang disampaikan oleh YBrs ASP Hasrul Ilham Bin Zakaria daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT). Beliau berkongsi statistik kemalangan jalan raya, faktor utama kemalangan melibatkan pekerja serta langkah keselamatan yang perlu diamalkan oleh semua pengguna jalan raya bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Secara keseluruhannya, seminar ini berjaya memberi pendedahan dan kefahaman yang lebih mendalam kepada para peserta mengenai kepentingan keselamatan perjalanan ke tempat kerja, selain memperkukuhkan kesedaran terhadap budaya kerja selamat demi kesejahteraan pekerja dan organisasi.

Turut hadir dalam seminar tersebut ialah pegawai-pegawai kanan UNI-MLC.

Haji Nikmatullah bin Abu Baka Citi
Penolong Setiausaha Agung UNI-MLC.

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP