Tuesday, January 17, 2012

Kesatuan Sekerja GLC rayu Najib semak skim persaraan dan pencen kakitangan GLC

KUALA LUMPUR, 17 Jan — Kongres Kesatuan Kesatuan Sekerja Dalam Syarikat GLC hari ini merayu kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar memandang serius terhadap beberapa isu yang berkaitan dengan mereka seperti pencen dan umur persaraan bagi kakitangan GLC.



Presiden kongres berkenaan, Mohd Shafie BP Mammal berkata, pekerja-pekerja di syarikat berkaitan kerajaan,(GLC) seakan di anak tirikan oleh kerajaan dan tidak menikmati faedah dan ganjaran setimpal sepertimana rakan-rakan sejawat mereka dalam perkhidmatan awam, sedangkan suatu ketika, mereka juga pernah berkhidmat dalam kakitangan awam.



“Kami berharap kerajaan akan memberikan perhatian kepada isu pencen dan had persaraan umur kakitangan GLC, kerana terdapat sekitar 300,000 kakitangan yang hanya menerima kadar pencen sekitar RM150 ke RM200 sebulan, yang mana berada di bawah paras kemiskinan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Kesatuan Pencantuman Pekerja-pekerja Tenaga Nasional Bhd (KPPPTNB) di sini.

Selain itu, Shafie (gambar) turut meminta kerajaan menyemak semula formula pencen yang diamalkan sekarang kerana menurutnya, formula berkenaan tidak pernah disemak dan itu mengakibatkan kakitangan GLC memperoleh pencen yang terlalu rendah.



“Zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu telah berlaku perubahan dalam sistem pencen kakitangan kerajaan dengan pencen minimum sejumlah RM720, tapi kakitangan GLC tidak menerima kenaikan yang sama, malah terlalu jauh lebih rendah,” katanya lagi.



Selain itu, kesatuan berkenaan turut memohon kepada kerajaan supaya menetapkan had umur persaraan kakitangan GLC kepada 60 tahun berbanding 55 tahun yang diamalkan kebanyakan GLC sekarang.



“Kami turut memohon kerajaan menetapkan had umur persaraan kakitangan GLC daripada 55 kepada 60 tahun, selaras dengan had umur kakitangan kerajaan ... kami minta hak kami diberikan, dan sebenarnya tidak timbul isu pekerja tidak produktif apabila mencecah umur tersebut,” katanya.



Tambah Shafie, pihaknya telah berjumpa Najib pada 6 Januari 2010 lalu dan menyerahkan memorandum berkaitan perkara tersebut, dan perdana menteri berjanji akan meneliti dan mengkaji kandungan memorandum itu, namun menurutnya, sehingga kini masih lagi tiada tindakan daripada kerajaan untuk menyelesaikan perkara itu.



“Dua tahun lalu kami ada berjumpa dengan perdana menteri dan beliau sangat bertolak ansur dan bertimbang rasa dalam perjumpaan tersebut, malah perdana menteri turut menyatakan persetujuan untuk menghadiri konvensyen GLC yang dijadualkan pada tahun itu, namun begitu, sehingga kini masih lagi belum ada jawapan berkenaan tarikh yang sesuai daripada pejabat perdana menteri,” katanya yang kesal dengan kejadian tersebut.



Sehubungan itu, Shafie menjelaskan, kesatuannya akan menghantar satu lagi surat kepada perdana menteri untuk memaklumkan berkenaan isu itu yang telah tertunggak sejak sekian lama.


  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP